Search

Wanita maut, pacuan empat roda terbabas ke dalam sungai

October 18, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabas ke dalam sungai di Kampung Nalapak, di sini, hari ini.

Mangsa Nancy Kitingon, 47, yang berada di dalam kenderaan jenis Isuzu D Max disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.

Katanya, sebaik tiba pada jam 1.14 tengah hari, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sendiri ke dalam sungai dengan seorang wanita berada di dalamnya.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.14 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya. – Info X