Search

RIDUAN : TENOM PERLU PUSAT RAWATAN DIALISIS, ADA PESAKIT SANGGUP TANGGUNG SAKIT HINGGA MENINGGAL DUNIA

February 9, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, ada di kalangan pesakit buah pinggang di daerah itu yang menanggung kesakitan sehingga akhirnya meninggal dunia kerana tidak mampu meneruskan rawatan akibat masalah kewangan.

Selain itu, katanya, mesin rawatan sedia ada di Tenom tidak dapat menampung permintaan yang ramai di daerah berkenaan dan ia menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang terpaksa ke Hospital Keningau, mahupun klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan.

“Memandangkan Tenom dan daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis (tiga hari rawatan dalam seminggu), namun akibat kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan telah menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya.

“Mesin rawatan sedia ada di Tenom tidak dapat menampung permintaan yang ramai di daerah ini dan menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang terpaksa ke Hospital Keningau, mahupun klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan.

“Namun dengan kos rawatan yang sangat tinggi sehingga pesakit perlu membayar sebanyak RM200 untuk satu sesi sahaja, amat membebankan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka.

“Malah yang lebih teruk lagi ialah apabila pesakit buah pinggang tidak meneruskan rawatan akibat kekangan dan masalah kewangan sehingga mereka menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Riduan menyokong penuh hasrat dan cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) untuk mewujudkan Pusat Dialisis di daerah-daerah yang mempunyai bilangan pesakit buah pinggang yang tinggi, termasuk di Tenom.

Katanya, beliau sedia memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan membantu sedaya yang mungkin agar sebuah Pusat Dialisis dapat segera diwujudkan di Tenom.

“Hasil pertemuan saya dengan Datuk James Ratib semasa menghadiri Majlis Hari Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Stanley Chong baru-baru ini, beliau (James) telah bersetuju secara dasarnya agar Tenom diberikan keutamaan untuk mewujudkan Pusat Dialisis pertama dibawah Kementerian beliau.

“Saya berharap usaha ke arah mewujudkan Pusat Dialisis oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat di Tenom dapat disegerakan, demi rakyat dan pesakit yang amat memerlukan rawatan hemodialisis.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk James Ratib yang peka dan tuntas menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di Tenom,” katanya. – Info X