Search

12 remaja ditahan selepas video pergaduhan di Padang Kunak tular

October 19, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Seramai 12 remaja lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di Padang Pekan Kunak yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Angong berkata, pihaknya mengesan penularan video memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tempat awam kira-kira jam 8 malam, 18 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Padang Pekan Kunak, di sini.

“Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan tindakan pengesanan sebelum membuat dua tangkapan secara berasingan membabitkan 12 remaja lelaki bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke IPD Kunak bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X