Search

PASUKAN PERUBATAN ATM DIHANTAR KE TURKIYE BANTU MANGSA GEMPA BUMI

February 9, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menghantar bantu terdiri pasukan doktor, paramedik dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Dijangkakan bertolak dari Malaysia pada pukul 2 pagi nanti, pihaknya juga sudah mengatur gerakan kor kesihatan ATM untuk menghantar sepasukan anggota bersama hospital medan iaitu terdiri tiga unit bagi tingkat satu (level 1) satu unit bagi tingkat dua (level 2).

“Tingkat satu ini ada mempunyai bilik kecemasan dan tingkat dua terdapat bilik bedah.”Semua bantuan pasukan berkenaan serta hospital medan akan dihantar ke Turkiye menggunakan Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Bagaimanapun, kita belum mengetahui kawasan yang mempunyai keperluan kerana kawasan yang terlibat terlalu luas.

“Oleh itu, kita serahkan kepada pihak negara Turkiye untuk meletakkan dimana kesesuaian anggota perubatan kita untuk membina dan mengurus hospital medan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi lawatan kerja beliau di Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Kem Lok Kawi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memaklumkan pihaknya menganggarkan pasukan doktor, paramedik dan anggota ATM yang bakal membentuk hospital medan adan berada di Turkiye selama enam minggu.

“Kita menganggarkan mereka berada di sana sekitar enam minggu untuk beroperasi.

“Umpama pergi ke sana seperti medan perang, kita mesti bawa peralatan, bekalan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan baharu sahaja dimaklumkan oleh Panglima Tentera Darat bahawa pihak Turkiye dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut memohon agar kementerian menghantar 60 orang anggota mencari dan menyelamat bagi membantu operasi di lokasi kejadian.

Ditanya mengenai perkembangan pemantauan aset pertahanan ATM, TUDM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan laut yang menjadi pertikaian sekitar Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak, baru-baru ini, Mohamad berkata, kawasan berkenaan sudah diwartakan sebagai zon ekonomi ekslusif.

“Kita akan menjaga kepentingan negara, kedaulatan negara dan aset-aset kita sentiasa ada di sana,” katanya. – Info X