KOTA KINABALU: Dua individu cedera termasuk seorang wanita patah kaki kanan dalam kebakaran bengkel kereta di Jalan Nountun, Inanam, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, wanita berusia 54 tahun berkenaan turut melecur 20 peratus pada badan, manakala seorang lelaki berusia 56 tahun melecur pada kaki kanan.
Kebakaran itu turut memusnahkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori lima tan, Honda Accord dan Perodua Myvi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 pagi.
Katanya, seramai 12 anggota digerakkan ke lokasi sebelum mendapati kebakaran membabitkan sebuah stor dan bengkel kereta yang terbakar 40 peratus.
“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Sherriyana berkata, operasi pemadaman turut dibantu 14 anggota dari BBP Kota Kinabalu.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.23 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X