Search

Pilihan Raya Parlimen Belia: Shadam bawa misi bina masa depan belia lebih sejahtera

October 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemerkasaan ekonomi, peningkatan kemahiran dan pembentukan kepimpinan belia digariskan sebagai antara aspek penting bagi membina masa depan golongan belia yang lebih sejahtera.

Perkara itu ditekankan calon Pilihan Raya Parlimen Belia Sabah, Shadam Abu, dalam manifestonya untuk menarik belia bagi menyokong usaha membawa perubahan demi kepentingan golongan berkenaan.

Menerusi gagasan ‘Bersama Belia Membangun Ekonomi Masa Depan’, Shadam membawa aspirasi untuk melihat golongan muda bukan sekadar menjadi pencari pekerjaan, tetapi turut berperanan sebagai pencipta peluang, penggerak ekonomi dan penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Antara agenda utama yang perlu diketengahkan ialah merancakkan ekonomi belia melalui galakan keusahawanan, pembukaan ruang perniagaan serta usaha memperluas peluang ekonomi.

“Matlamatnya adalah untuk membantu belia membina sumber pendapatan, mengembangkan potensi dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih stabil,” katanya, di sini, pada Khamis.

Shadam turut memberi penekanan kepada penyediaan belia yang berkemahiran melalui latihan, pendidikan dan pembangunan kompetensi yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Jelasnya, kemahiran praktikal, penguasaan teknologi dan kesediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan adalah antara aspek penting bagi memastikan golongan muda terus relevan.

Dalam manifestonya, Shadam turut menekankan usaha memperkukuh ekonomi belia dan membentuk generasi yang mempunyai daya saing tinggi serta berjiwa kepimpinan.

“Belia perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan idea, menyertai proses membuat keputusan dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Berteraskan slogan ‘Belia Berdaya, Ekonomi Sejahtera’ dan ‘Bersama Belia, Kita Boleh!’, manifesto Shadam membawa harapan agar potensi anak muda dapat diterjemahkan kepada peluang serta hasil yang nyata.

Kejayaan agenda itu, katanya memerlukan perancangan yang jelas, pelaksanaan berkesan dan kerjasama semua pihak supaya aspirasi belia dapat dibina menjadi masa depan yang lebih berdaya maju.

Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia 2026 dijadual diadakan pada awal bulan depan setelah habis tempoh berkempen yang bermula 15 Oktober hingga 31 Oktober ini, membabitkan sebanyak 222 kawasan Parlimen seluruh negara. – Info X