KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedia memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung siasatan kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Menterinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung hasrat jawatankuasa itu susulan laporan audit terhadap projek berkenaan yang didapati hanya siap 11.4 peratus selepas dimulakan pada 2016.
“KKRU dan JKR Sabah menerima teguran audit sebagai asas memperkukuh tadbir urus, pengurusan kontrak dan pemantauan projek.
“Pihak KKRU dan JKR Sabah juga mengambil maklum mengenai hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan siasatan Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1 dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datum Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya akan memulakan siasatan terhadap projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 susulan kelewatan serta kelemahan pelaksanaan dan pemantauan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
Siasatan itu, katanya akan meneliti pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal projek berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu memandang serius perbelanjaan RM10.547 bilion, atau 94.6 peratus daripada peruntukan diterima berjumlah RM11.153 bilion, setakat 31 Mac 2026.
Pada tarikh sama, katanya hanya empat daripada 35 pakej kerja, atau 11.4 peratus daripada jumlah pakej, siap sepenuhnya, dengan baki 31 pakej masih dalam pelaksanaan.
Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah, serta agensi berkaitan untuk memberikan keterangan dalam prosidingnya.
Katanya, jawatankuasa itu tidak akan teragak-agak merujuk dapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika ditemukan petunjuk salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan. – Info X