TAWAU: Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes seorang individu dipukul dan diugut rumahnya akan dibakar di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini, malam tadi.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua wanita berusia 42 dan 47 tahun serta seorang lelaki berusia 45 tahun yang ditahan kira-kira jam 8.10 malam susulan kejadian pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, berdasarkan laporan diterima, pengadu mendakwa didatangi sekumpulan individu ketika berada di sebuah rumah kongsi.
Katanya, seorang wanita kemudian menarik rambut pengadu sebelum seorang lelaki tidak dikenali menumbuk bahagian tepi telinga kanan sehingga menyebabkan kesakitan.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung dakwaan pengadu menyiram seorang individu dengan air panas dan memukul anak individu terbabit.
“Pengadu turut mendakwa menerima ugutan untuk membakar rumah kongsi yang didiaminya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Bombalai menjalankan tindakan pengesanan sebelum berjaya menahan ketiga-tiga suspek di pekarangan balai berkenaan.
Katanya, semua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan kekerasan atau ugutan dalam menyelesaikan perselisihan faham, sebaliknya menggunakan saluran yang betul. – Info X