KOTA KINABALU: Kemajuan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1A mencapai 89.54 peratus setakat 25 September lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata Laporan Audit sebelum ini yang menyatakan peratus penyiapan Fasa 1 projek itu sebanyak 11.4 peratus adalah berdasarkan empat pakej kerja yang sudah siap sepenuhnya daripada keseluruhan 35 pakej kerja pada tarikh pengauditan.
Katanya, angka berkenaan tidak menggambarkan tahap kemajuan fizikal sebenar projek di tapak, memandangkan pengiraannya hanya mengambil kira bilangan pakej yang telah siap sepenuhnya dan tidak mencerminkan kemajuan kerja bagi pakej lain yang masih dalam pelaksanaan.
Sehubungan itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, berkata angka berkenaan perlu dibezakan daripada kemajuan fizikal Fasa 1A yang mencapai 89.54 peratus setakat 25 September 2026.

“Kedua-dua peratusan ini menggunakan kaedah pengukuran yang berbeza, iaitu 11.4 peratus merujuk kepada kadar penyiapan bilangan pakej kerja bagi keseluruhan Fasa 1, manakala 89.54 peratus mencerminkan kemajuan pelaksanaan fizikal sebenar bagi Fasa 1A,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Beliau menjelaskan, antara cabaran utama yang mempengaruhi pelaksanaan projek adalah peralihan model pengurusan projek, gangguan tenaga kerja dan rantaian bekalan bahan binaan ketika pandemik COVID-19, isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti serta kekangan pelaksanaan kerja pelebaran jalan sedia ada yang perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan kelancaran trafik.
Bagaimanapun, katanya setakat 25 September 2026, penyediaan tapak bebas halangan bagi Fasa 1A telah mencapai 99.85 peratus, manakala usaha penyelesaian baki isu tapak, pemantauan rapi terhadap prestasi kontraktor serta pelaksanaan pelan pemulihan kerja terus dipergiatkan bagi memastikan kemajuan projek dapat dipertingkatkan dan penyiapan baki pakej kerja dapat disegerakan.
Setakat ini, katanya empat daripada 15 pakej Fasa 1A siap sepenuhnya, iaitu WP27 Kampung Lot M Sandakan Mile 32 siap pada 2023, WP05 Papar-Donggongon dan WP21 Lahad Datu Bypass siap pada 2024, manakala WP15 Tawau-Semporna siap pada 2025.
“Baki 11 pakej Fasa 1A masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan fizikal Fasa 1A ialah 89.54 peratus (sebenar) dan 96.23 peratus (jadual).
“Sementara itu, WP09 mencatatkan prestasi yang baik dengan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 40.83, mendahului kemajuan yang dijadualkan sebanyak 38.87 peratus.
“Prestasi positif turut direkodkan bagi Fasa 1B dengan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 25.55 peratus, berbanding 24.77 peratus yang dijadualkan,” katanya.
Beliau menjelaskan pengurusan dan kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 perlu dilihat berdasarkan garis masa pelantikan kontraktor, perubahan kaedah pelaksanaan serta status sebenar setiap pakej kerja (WP).
Katanya, kerajaan mengakui kelewatan yang berlaku dalam pelaksanaan projek itu dan memberi tumpuan kepada penyelesaian di tapak serta penambahbaikan pengurusan projek.
Jelasnya, Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah projek jalan Persekutuan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) selaku pemilik projek, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Urusan peruntukan dan perolehan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri menyelaras urusan tanah dan utiliti bersama agensi berkaitan.
“Pelaksanaan projek bermula melalui model Project Delivery Partner (PDP) dengan ebanyak tiga pakej dimulakan pada 2016, empat pada 2017 dan lima pada 2018, menjadikan 12 pakej keseluruhannya dalam tempoh itu.
“Selepas model PDP ditamatkan pada September 2019, projek beralih kepada kaedah konvensional. Memandangkan peralihan ini kali pertama dilaksanakan bagi projek mega seumpama ini, penyusunan semula urusan perolehan dan kontrak memerlukan masa serta penyelarasan yang teliti,” katanya.
Dr Joachim berkata, setelah peralihan kepada kaedah konvensional, JKR Sabah telah dilantik menjadi Pengawai Penguasa (SO).
Katanya, daripada 12 pakej kerja terdahulu, 11 dilaksanakan pada 2019 dengan melantik semula kontraktor asal manakala satu pakej yang ditamatkan semasa pelaksanaan PDP telah ditender semula dan surat setuju terima dikeluarkan pada 2021 bersama tiga pakej kerja yang baharu.
“Kesemua 15 pakej kerja ini telah diidentitikan sebagai Fasa 1A. WP09 telah diluluskan dalam RP1 RMKe-12, manakala Fasa 1B yang terdiri daripada 19 pakej kerja telah diluluskan dalam RP3 RMKe-12.
“Sebanyak 17 pakej Fasa 1B ini telah dimulakan kerja fizikal pada 2024, manakala WP09 dan satu pakej Fasa1B bermula pada 2025. Baki satu lagi pakej Fasa1B iaitu WP35 hanya bermula pada Januari 2026 yang lalu.
Projek Pan Borneo Fasa 1, katanya membabitkan sebanyak 35 pakej kerja yang sudah dimulakan secara berperingkat dengan jarak keseluruhan sepanjang 706 KM.
Katanya, kos keseluruhan Fasa 1 adalah RM24.859 bilion dan setakat 30 September 2026 sebanyak RM11.792 bilion sudah dibelanjakan iaitu 47.37 peratus, membabitkan pembayaran kepada kontraktor dan perunding serta pembayaran pampasan tanah dan pengalihan utiliti.
Jumlah perbelanjaan itu, katanya turut mengambil kira bayaran kepada pihak Project Delivery Partner (PDP) sepanjang tempoh pelaksanaannya sehingga penamatan perjanjian PDP.
Ends