Search

Wartawan beri saingan sengit, IPD Kota Kinabalu menang aksi persahabatan

October 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Biarpun berdepan pasukan yang dibarisi pemain muda, Persatuan Wartawan Sabah (SJA) tetap memberi saingan sengit sebelum akur dengan kemenangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam aksi persahabatan bola sepak di sini.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu bukan sekadar medan menguji kecergasan, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim antara pengamal media dan polis.

Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Polis (ASP) Jupri Usman berkata, penganjuran aktiviti sukan seumpama itu penting bagi mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

Katanya, selain menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pengamal media dan anggota polis berinteraksi dalam suasana santai di luar urusan rasmi.

“Hubungan baik antara pengamal media dan polis amat penting bagi memastikan kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Perlawanan persahabatan seperti ini juga dapat membina persefahaman serta semangat kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan.

Turut menyertai perlawanan itu ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Kinabalu, ASP V Nares Kumar Verapan.

Sementara itu, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi SJA, Fardy Bungga berkata, pihaknya akan terus menggalakkan penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi bersama agensi kerajaan serta pihak berkepentingan.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah membuka ruang kepada pengamal media dan polis untuk saling mengenali serta memperkukuh jaringan kerjasama.

“Kemenangan atau kekalahan bukan perkara utama, sebaliknya semangat persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sepanjang perlawanan ini lebih bermakna.

“Kami berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan kerana sukan mampu menjadi medium terbaik untuk menyatukan pengamal media dan polis,” katanya. – Info X