Search

KM mahu kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat ditingkatkan

October 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di Kudat yang merangkumi perairan Pulau Banggi dan Balambangan ditingkatkan berikutan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik penekanan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

“Saya sendiri membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri berkaitan keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi maklum balas yang baik.

“Keselamatan adalah asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, Kerajaan Sabah menyambut baik pembentangan Perdana Menteri yang menekankan pengukuhan kawalan sempadan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Isu keselamatan di perairan utara Sabah itu timbul berikutan langkah Filipina membina pangkalan tentera di Pulau Balabak, Palawan yang jaraknya kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Sabah.

Negara itu turut membuka pangkalan tentera berkenaan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat menerusi kerjasama ketenteraan Filipina-Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Hajiji meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap isu jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi dan kelancaran operasi keselamatan jika tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.

“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang terletak berhampiran kawasan sempadan Indonesia.

“Sehubungan itu, saya meminta agensi berkaitan untuk sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosio politik global dan serantau yang semakin dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.

Hajiji merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berhubung pengurusan isu jerebu yang menimbulkan sentimen tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Katanya, perkembangan itu wajar dijadikan peringatan bahawa isu kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.

Beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial bagi mengenal pasti sebarang perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah. – Info X