Search

Penduduk roboh tiga rumah halang api merebak

October 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penduduk bertindak merobohkan tiga rumah bagi menghalang api merebak dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Skim Penempatan Telipok, Blok Tengah, Telipok, di sini, malam ini.

Tindakan pantas penduduk itu dilakukan ketika kebakaran berlaku bagi mengelakkan lebih banyak rumah berhampiran turut terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.59 malam sebelum 26 anggota dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Tuaran digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 8.25 malam, namun terpaksa berjalan kaki sejauh 300 meter untuk sampai ke lokasi kebakaran.

“Laluan masuk ke kawasan kejadian terhalang akibat kenderaan yang diletakkan di kiri dan kanan jalan sehingga menyukarkan akses jentera bomba.

“Ketika operasi dijalankan, penduduk kampung dilaporkan sudah merobohkan tiga rumah bagi menghalang api daripada merebak ke kediaman lain,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Noor Sherriyana berkata, kebakaran membabitkan lima rumah dan tiada lagi kemerebakan api dilaporkan selepas tindakan pemadaman dijalankan.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 9 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui. – Info X