Search

Parti tempatan perlu bekerjasama demi kepentingan Sabah

October 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti tempatan di Sabah perlu bekerjasama bagi memastikan agenda dan perjuangan untuk rakyat negeri ini dapat direalisasikan.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama itu penting, termasuk dalam memperjuangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita GRS berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Exco Wanita UPKO yang diketuai Ketuanya, Mohina Ronnie Sidom, di Wisma IDS, di sini, pada Khamis.

Azizah berkata semua pihak perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan bagi mengekalkan kerjasama serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pembentukan GRS yang menghimpunkan parti-parti tempatan mencerminkan kematangan politik di Sabah dan membolehkan semua pihak mencari titik persamaan bagi mengukuhkan kedudukan negeri dalam Malaysia.

“Semangat ini selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat melaksanakan usaha untuk kemakmuran dan kemajuan negeri. Sebab itu, gabungan ini mesti kita pertahankan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia Abu Bakar Titingan dan barisan Exco Wanita UPKO. – Info X