LAHAD DATU: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan polis bagi membantu siasatan pergaduhan di sebuah restoran di bandar Lahad Datu yang dipercayai berpunca daripada isu cemburu.
Semua individu berusia antara 19 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 8 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat diterima polis berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan di sebuah restoran itu dipercayai bermula akibat isu cemburu membabitkan seorang pekerja lelaki dan pekerja wanita di premis berkenaan.
“Perselisihan faham itu kemudian dipercayai turut membabitkan teman lelaki pekerja wanita terbabit serta beberapa individu lain sehingga mencetuskan pergaduhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang terbabit dalam kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, rakaman video berdurasi kira-kira 30 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dikejar sekumpulan individu sebelum terjatuh dan dibelasah di luar sebuah restoran.
Kejadian itu turut mencetuskan kekecohan apabila pelanggan restoran berkenaan kedengaran menjerit ketika pergaduhan berlaku. – Info X