SANDAKAN: Kehadiran pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Parti Warisan di sini, hari ini, sekali lagi mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pembentukan jajaran baharu politik Sabah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kehadiran Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang, bersama Presiden KDM, Priscella Peter, menjadi antara tumpuan pada perhimpunan itu, yang turut dihadiri beberapa pemimpin daripada kedua-dua parti berkenaan.
Kehadiran mereka dilihat menarik perhatian ketika hubungan antara Warisan, STAR dan KDM semakin kerap menjadi perbualan dalam kalangan pemerhati politik negeri.
Perkembangan itu turut menghangatkan spekulasi mengenai kemungkinan ketiga-tiga parti tempatan berkenaan menjalin kerjasama politik lebih tersusun, khususnya dalam menghadapi PRU16.
Sebelum ini, pemimpin ketiga-tiga parti itu turut dilihat bersama dalam beberapa program, termasuk sambutan Hari Malaysia di Batu Sumpah, Keningau, pada 16 September lalu.
Pertemuan berulang itu menimbulkan persoalan sama ada hubungan yang terjalin setakat ini sekadar mencerminkan kesediaan untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam isu tertentu, atau menjadi permulaan kepada pembentukan jajaran politik baharu.
Pada sidang media selepas AGM berkenaan, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan STAR dan KDM, memberi bayangan bahawa kehadiran kedua-dua pemimpin berkenaan membawa makna tersendiri.
“Kehadiran mereka di sini hari ini cukup jelas,” katanya.
Shafie sebelum ini turut membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan parti tempatan lain, termasuk STAR dan KDM, bagi memperkukuh kedudukan politik Sabah.
Bagaimanapun, sebarang bentuk kerjasama rasmi antara ketiga-tiga parti itu masih memerlukan penjelasan lanjut daripada kepemimpinan masing-masing, termasuk mengenai hala tuju bersama dan kemungkinan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.
Dalam landskap politik Sabah yang menyaksikan persaingan pelbagai parti tempatan, kemungkinan pembentukan jajaran baharu itu menjadi antara perkembangan yang akan terus diperhatikan.
Namun, kehadiran pemimpin STAR dan KDM pada AGM Warisan hari ini belum boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa persetujuan membentuk gabungan rasmi sudah dicapai.
Sebaliknya, perkembangan itu menambah satu lagi petunjuk kepada spekulasi yang semakin hangat diperkatakan, sementara pemerhati politik menantikan sama ada hubungan antara ketiga-tiga parti berkenaan akan berkembang menjadi kerjasama yang lebih konkrit menjelang PRU16.-Info X