SANDAKAN: Persatuan Pesara Polis Sabah (PPPS) menerima sijil penghargaan sempena penganjuran Borneo Entrepreneur and Industrial Award (BEIA) 2026, di sini, atas peranannya dalam membantu pembangunan ekonomi ahli.
Presiden PPPS, Datuk Seri Dr Zulfakar Hashim, berkata pengiktirafan itu diberikan atas kejayaan persatuan membimbing ahlinya menceburi bidang keusahawanan menerusi platform sokongan dan jaringan perniagaan yang dibangunkan.
Katanya, PPPS bukan saja memberi tumpuan kepada kebajikan pesara polis, malah turut berusaha memperkasa golongan berkenaan dengan membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan membangunkan perniagaan sendiri.
“PPPS bukan saja menjaga kebajikan pesara polis, tetapi berjaya mengubah mereka menjadi usahawan melalui jaringan dan peluang industri yang kami sediakan,” katanya.
Katanya, antara bidang keusahawanan yang diceburi ahli PPPS termasuk pengeluaran air mineral, penanaman Sacha Inchi, pembangunan perusahaan rumah burung walit serta penglibatan dalam sektor telekomunikasi menerusi BeOne.
Usaha berkenaan, katanya mencerminkan komitmen PPPS dalam meneroka peluang ekonomi baharu, selain membantu ahlinya memanfaatkan potensi sektor yang mempunyai nilai komersial dan prospek pertumbuhan.
Beliau berkata, pengiktirafan sempena BEIA 2026 itu sekali gus mengukuhkan kedudukan PPPS sebagai sebuah persatuan yang bukan saja memperjuangkan kebajikan pesara polis, malah berperanan sebagai platform pembangunan keusahawanan dan transformasi ekonomi dalam kalangan ahlinya.
Pencapaian itu juga, katanya memperlihatkan potensi pesara polis untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri menerusi penglibatan aktif dalam sektor perniagaan, sekali gus membina sumber pendapatan selepas menamatkan perkhidmatan.
Sementara itu, Penasihat Kehormat PPPS, Datuk Saiman Kasran, berkata pencapaian berkenaan menjadi pemangkin kepada persatuan untuk terus memperluas usaha memperkasa ahli dalam bidang keusahawanan.
“Syukur alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada PPPS, satu pencapaian yang baik kepada semua ahli,” katanya yang juga Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis Malaysia. – Info X