Search

Sabah Electricity lancar projek perintis mobiliti hijau guna motosikal elektrik

October 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity melancarkan Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) untuk kegunaan anggota kerja syarikat utiliti itu bermula dengan pembaca jangka atau meter elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata inisiatif itu bagi mengenal pasti kesesuaian penggunaan kenderaan elektrik untuk meningkatkan kecekapan operasi lapangan, mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Sebagai permulaan, katanya sebanyak lima unit motosikal elektrik diserahkan kepada anggota kerja di Bahagian Retail Sabah Electricity untuk digunakan pembaca jangka dalam melaksanakan tugasan mereka.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha meneroka pendekatan operasi yang lebih lestari melalui potensi pengurangan pelepasan karbon, pengoptimuman kos operasi dan peningkatan kecekapan pergerakan petugas lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) Sabah Electricity, di sini, pada Selasa.

Katanya, anggota kerja pembaca jangka dipilih dipilih sebagai perintis projek EV Bike itu sesuai dengan tugasan mereka yang memerlukan pergerakan kerap ke pelbagai lokasi pelanggan setiap hari.

“Ini membolehkan kita menilai kesesuaian penggunaan motosikal elektrik dalam keadaan operasi sebenar,” katanya.

Projek perintis itu, katanya adalah sebahagian daripada usaha syarikat meneroka pendekatan baharu untuk meningkatkan produktiviti dan mengurus kos operasi dengan lebih berkesan.

Jelasnya, sepanjang tempoh percubaan selama enam hingga 12 bulan, Sabah Electricity akan menilai prestasi motosikal elektrik berkenaan berdasarkan beberapa aspek utama, termasuk kecekapan tenaga, jarak perjalanan, ketahanan bateri, kos penyelenggaraan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan keadaan geografi dan keperluan operasi di Sabah.

“Penggunaan motosikal elektrik berpotensi mengurangkan penggunaan petrol bagi perjalanan operasi, di samping membuka ruang kepada penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pengalaman anggota kerja yang terbabit memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan projek itu.

“Rekod penggunaan, kos, prestasi dan maklum balas pembaca jangka akan dikumpulkan secara teratur bagi memastikan keputusan seterusnya dibuat berdasarkan data dan keperluan operasi sebenar.

“Sekiranya hasil penilaian menunjukkan motosikal elektrik berkenaan praktikal, menjimatkan dan sesuai dengan keperluan operasi, Sabah Electricity akan menimbangkan pembelian serta peluasan penggunaannya secara berperingkat ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya

Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong komitmen Sabah Electricity terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya melalui penerokaan teknologi yang lebih mesra alam dan penggunaan tenaga secara cekap serta bertanggungjawab.

“Sabah Electricity berharap projek perintis ini menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan dalam operasi syarikat, selaras dengan usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan sambil meneroka penyelesaian mobiliti yang lebih lestari,” katanya. – Info X