KOTA KINABALU: Sayap Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu lebih ramai wanita diberi peluang memegang peranan kepimpinan dalam gabungan berkenaan, selain memperkukuh kerjasama dan mendekati masyarakat akar umbi.
Menyuarakan perkara itu, Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama erat antara kepimpinan wanita penting bagi memastikan gerak kerja gabungan itu tersusun dan sampai kepada masyarakat.
“Usaha mendekati akar umbi perlu diteruskan supaya suara, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat. Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Azizah berkata, penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan turut membawa pelbagai pandangan dan pengalaman dalam proses membuat keputusan.
“Peranan wanita perlu diperkukuh di semua peringkat bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya.
Hadir sama Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda; Penolong Setiausaha Wanita PGRS, Fahzean Mohiddin; Bendahari Wanita PGRS, Salmi Sarinoh dan Ketua Penerangan Wanita PGRS, Senator Datuk Anna Bell Perian.
Turut serta ialah Timbalan Ketua Penerangan Wanita PGRS, Julia Ahmad Bahrom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait dan Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda. – Info X