Search

Peruntukan projek Jalan Luar Bandar di Sabah, Sarawak tidak dibatalkan – Mustapha

October 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI tidak membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak seperti didakwa sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang menafikan pembatalan itu, berkata dakwaan berkenaan adalah tidak berasas.

Katanya, sebarang dakwaan wajar disertai dengan bukti yang jelas jika ada pihak beranggapan projek terbabit dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, projek terbabit hanya ditangguhkan menerusi penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu dan ia tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan.

“Faktanya, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion bagi tahun 2026 kepada RM2.27 bilion bagi tahun 2027.

“Sebagaimana tercatat dalam rekod, sebelum pentadbiran Kerajaan Madani, peruntukan JALB ini tidak pernah mencecah angka RM1 bilion, peruntukan RM1.09 bilion hanya dimulakan pada tahun 2023.

“Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mustapha berkata, Kementerian Kewangan juga meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB.

Langkah itu, katanya jelas menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan untuk memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan.

“Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan, sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor.

“Justeru, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September 2026 adalah langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang sudah dianugerahkan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab.

“Dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek juga tidak boleh dibuat berdasarkan andaian semata-mata.

“Mana-mana pihak yang membuat dakwaan sedemikian wajar mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan sebagai bukti,” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu, berkata komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah dan Sarawak turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2027 yang meningkatkan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.

Selain itu, katanya RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik.

“Saya ingin menegaskan bahawa pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

“Keperluan memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah tidak pernah dipinggirkan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sebanyak 13 projek JLB di Sabah dibatalkan pada tahun ini berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Kementerian. – Info X