KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi melaksanakan Projek Ruminan Sabah pada tahun ini dengan sasaran meningkatkan produktiviti ternakan lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing menerusi penggunaan baka lebih berkualiti.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu dilaksanakan bagi membantu penternak meningkatkan hasil ternakan memandangkan sebahagian besar masih menggunakan baka lama yang kurang produktif.
“Program ini bertujuan menambah baik sektor ternakan ruminan, khususnya lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing melalui penggunaan baka yang lebih berkualiti.
“Sebahagian besar penternak kita masih menggunakan baka lama yang kurang produktif. Dengan bantuan ini, kita berharap hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Ternakan dan Input Ladang Projek Ruminan Sabah 2026 di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Penampang, di sini, pada Rabu.
Bantuan ternakan diserahkan kepada 43 penerima yang terdiri daripada 19 peserta ternakan kambing, 22 peserta ternakan lembu pedaging dan dua peserta ternakan lembu tenusu.
Jamawi berkata, penerima dipilih dalam kalangan mereka yang mengikuti kursus khusus serta memohon bantuan dan memulakan aktiviti penternakan masing-masing.
Beliau berharap semua penerima dapat menjaga ternakan yang dibekalkan dengan baik bagi memastikan baka berkenaan berkembang dan memberi pulangan hasil yang menguntungkan dalam jangka panjang.

Katanya, ternakan yang dibekalkan mempunyai potensi pembiakan yang baik, sekali gus membantu meningkatkan jumlah ternakan dan kualiti baka dalam kalangan penternak tempatan.
“Penerima bantuan lembu pedaging dan lembu tenusu berpotensi memperoleh kelahiran anak ternakan pertama dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga bulan selepas penjagaan awal, manakala kambing yang dibekalkan berusia setahun hingga setahun dua bulan,” katanya.
Beliau berkata program itu akan diteruskan pada tahun depan dengan kuantiti bantuan yang sama dan dirancang berlangsung sehingga 2030.
Dalam pada itu, Jamawi berkata pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh pegawai DVS di daerah masing-masing bagi memastikan ternakan dijaga dengan baik dan bantuan digunakan mengikut tujuan ditetapkan.
Katanya, penerima juga tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk kehilangan wang cagaran sekiranya ternakan mati akibat kecuaian atau dijual tanpa kebenaran pihak jabatan.
Mereka yang melanggar syarat berkenaan juga boleh disenarai hitam daripada menyertai program bantuan pada masa hadapan.
Hadir sama Pembantu Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Maria David Edick dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Mohd Rashid serta pemilik Eco Yap Fresh Milk, Datuk Yap Yun Fook. – Info X