KOTA KINABALU: Hak 40 peratus hasil bersih Sabah perlu dilaksanakan dengan penjelasan mengenai jumlah sebenar yang perlu dibayar dan garis masa pembayarannya.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata jika jumlah hasil dikutip di Sabah bagi 2022 hingga 2024 sekitar RM10 bilion setahun, maka hak 40 peratus Sabah yang perlu dibayar ialah RM4 bilion.
Katanya, anggaran itu berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Rakyat yang menganggarkan kutipan hasil sekitar RM10 bilion setahun dari Sabah.
“Jika jumlah pungutan bersih Persekutuan dari Sabah ialah sekitar RM10 bilion setahun, maka 40 peratus daripada jumlah itu bersamaan RM4 bilion setahun.
“Persoalan rakyat ialah, apakah lagi alasan atau isu yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk terus menangguhkan pembayaran hak 40 peratus Sabah?” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan, anggaran hasil berkenaan merangkumi bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus serta hasil cukai langsung dan tidak langsung yang lain.
Bagaimanapun, jawapan itu tidak memperincikan pecahan hasil bagi setiap tahun atau kaedah pengiraan jumlah berkenaan.
Madius berkata rakyat Sabah memerlukan penjelasan yang terang mengenai pengiraan hak pemberian khas itu, termasuk jumlah sebenar yang perlu dibayar serta tempoh pelaksanaannya.
Beliau turut mempersoalkan alasan yang masih digunakan untuk menangguhkan pembayaran hak berkenaan, memandangkan isu 40 peratus terus menjadi perhatian dalam hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah. – Info X