TAWAU: Enam individu disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah dikesan dalam operasi bersepadu polis bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di beberapa hotel dan premis penginapan bajet sekitar bandar ini.
Operasi menerusi Op Cegah Maksiat/Pelacuran itu membabitkan pemeriksaan lapan premis penginapan di Jalan Bakau, Jalan Masjid, Jalan Dunlop dan Jalan Bunga.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama JHEAINS Daerah Tawau.
Katanya, pemeriksaan tertumpu kepada hotel dan premis penginapan bajet bagi mengesan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.
“Selain memeriksa lesen perniagaan premis, pasukan operasi turut menjalankan pemeriksaan dokumen pengenalan diri individu yang menyewa bilik.
“Hasil pemeriksaan, empat individu dikesan dalam pemeriksaan pertama, manakala dua lagi ditemukan dalam pemeriksaan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Rosdi berkata, kesemua enam individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah.
Menurutnya, mereka kemudian diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis bersama agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X