Search

KOPAN rancang program seni nasyid di sekolah dengan kerjasama JPNS

October 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN) merancang untuk menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk memperkasa seni nasyid di negeri ini bermula di peringkat sekolah.

Pengerusinya, Mohd Nazri Saidali, berkata cadangan itu disuarakan pihaknya menerusi kunjungan hormat ke Sektor Pendidikan Islam, JPNS, di sini, bagi membincangkan kerjasama strategik itu, baru-baru ini.

Katanya, pada kunjungan hormat itu, beliau mengetengahkan empat cadangan program utama yang berpotensi dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama JPNS dan sekolah.

“Antara cadangan itu ialah mengadakan Mini Akademi Nasyid Sabah yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui latihan vokal, harmoni, penciptaan lagu, penulisan lirik dan produksi muzik.

“Selain itu, KOPAN turut mencadangkan penganjuran Pertandingan Nasyid Etnik Sabah sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu, di samping mengangkat keunikan budaya dan identiti masyarakat Sabah melalui seni nasyid yang kreatif serta bersesuaian.

“Cadangan ketiga ialah Projek Lagu Nasyid Pendidikan Sabah, yang memberi fokus kepada penghasilan karya bertemakan adab, pembentukan sahsiah, perpaduan, semangat menuntut ilmu dan penghormatan kepada guru serta ibu bapa.

“Karya-karya itu berpotensi dimanfaatkan dalam program sekolah, aktiviti kokurikulum dan pelbagai inisiatif pembangunan murid, tertakluk kepada kesesuaian serta kelulusan pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, katanya Bengkel Penjurian Nasyid turut dicadangkan bagi meningkatkan pengetahuan dan profesionalisme juri melalui latihan berkaitan teknik pemarkahan, penilaian vokal, penghayatan lagu, kualiti muzik serta etika pengadilan pertandingan.

Beliau berkata, keempat-empat program itu dirangka sebagai satu ekosistem pembangunan nasyid yang saling melengkapi, bermula daripada latihan dan pencungkilan bakat, penghasilan karya, penganjuran pertandingan hinggalah kepada peningkatan kualiti penjurian.

Katanya, pendekatan bersepadu itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru dan pelajar untuk mengembangkan potensi dalam bidang seni nasyid, sekali gus melahirkan generasi yang kreatif, berdisiplin dan mempunyai nilai sahsiah yang baik.

“KOPAN turut berharap pertemuan itu menjadi langkah awal kepada kerjasama yang lebih erat dengan JPNS dan pihak sekolah dalam membangunkan program nasyid yang tersusun, berimpak serta berterusan di Sabah.

“Melalui usaha ini, KOPAN berhasrat untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam pembangunan bakat, penciptaan karya dan pemerkasaan industri nasyid tempatan, khususnya dalam sektor pendidikan.

“KOPAN Memperkasa Nasyid — Melahirkan Bakat, Mengangkat Budaya, Membina Generasi,” katanya.-Info X