Search

Cubaan seludup 1,750 liter petrol gagal, dua bot ditinggalkan

November 2, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup 1,750 liter petrol bernilai kira-kira RM18,000 ke negara jiran gagal selepas dua bot pam tanpa nombor pendaftaran ditinggalkan berhampiran Kampung Sinakut Tengah, di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditinggalkan bersama muatan petrol selepas sekumpulan individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot terbabit dikesan pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris 4.0.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot masing-masing berwarna biru dan hijau membawa sejumlah gelen berisi minyak petrol.

“Bot pertama membawa 38 gelen manakala bot kedua pula membawa 32 gelen dengan setiap gelen berkapasiti 25 liter.

“Keseluruhan 70 gelen berkenaan mengandungi 1,750 liter petrol dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulfikhar berkata, sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan kedua-dua bot berkenaan berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan empat unit enjin pam bot yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Kedua-dua bot bersama muatan kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup petrol ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999. – Info X