KOTA KINABALU: Kerajaan diminta mengambil tindakan segera bagi menangani kekurangan tenaga perubatan di Sabah, khususnya di kawasan Beluran, Ranau, Keningau, Sipitang, Beaufort dan Beaufort.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan di Sabah ketika ini perlu diselesaikan demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Kerajaan perlu menyelaraskan penyelesaian bersama Kementerian Kesihatan, termasuk melihat isu elaun wilayah dan kemudahan perumahan bagi menarik serta mengekalkan pegawai perubatan untuk terus berkhidmat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin.
Madius berkata, kekurangan tenaga perubatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.
Selain itu, Madius turut meminta Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) menjelaskan status 13 projek Jalan Luar Bandar bernilai RM1.716 bilion yang dilaporkan mengalami pembatalan proses tender sebelum ini.
Katanya, BHESS perlu menyelaras tindakan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Kewangan bagi memastikan status pembiayaan dan proses pelaksanaan setiap projek dapat diperjelaskan.
“Rakyat Sabah perlu mengetahui bila proses tender akan dilaksanakan semula dan bila kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.
“Kita memerlukan penjelasan mengenai tarikh tender semula serta tarikh permulaan kerja bagi setiap projek supaya pelaksanaannya dapat dipantau,” katanya.
Beliau menegaskan projek pembangunan luar bandar perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana kelewatan pelaksanaan memberi kesan kepada kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Madius berkata setiap isu yang dibangkitkan perlu disusuli tindakan konkrit dengan penetapan tanggungjawab agensi pelaksana dan garis masa yang jelas. – Info X