Search

36 ditahan dalam serbuan pusat hiburan

November 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 36 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di pusat bandar raya ini, awal pagi semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bermula jam 2 pagi hingga 6.30 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 81 individu.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 36 individu positif dadah, manakala 45 lagi negatif.

“Semua 36 individu terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut merampas dadah jenis ketamin dan cecair ekstasi dengan anggaran nilai RM1,800,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan JSJN Sabah membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di pusat hiburan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh merosakkan kesihatan dan masa depan.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan dadah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan. – Info X