Search

Pasangan ditahan bersama syabu RM5,000 di Kudat

November 2, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Seorang lelaki dan wanita ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan sepasukan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan dadah di daerah berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita menemukan satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

“Dadah berkenaan dianggarkan seberat 50.62 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM5,000.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Kudat bersama barang rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mohd Haris berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek lelaki negatif.

“Semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat penting bagi membantu polis membanteras jenayah dadah demi keselamatan masyarakat. – Info X