TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru, Hilltop, di sini, pagi tadi.
Mangsa Jackson Zack, 12, ditemukan pasukan bomba di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi ketika pemeriksaan dilakukan selepas kebakaran berjaya dikawal.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabab, Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba tiga minit kemudian, pasukan bomba mendapati enam rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal sedang terbakar.

“Bagaimanapun, kebakaran merebak dengan pantas sehingga memusnahkan keseluruhan 30 rumah berdasarkan perkembangan operasi pada jam 8 pagi.
“Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, pasukan bomba menemukan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Moiley berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat selain laluan masuk yang sempit.
Menurutnya, keadaan bertambah mencabar apabila tiada pili bomba berhampiran lokasi kejadian, menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan sumber air alternatif.

“Keadaan rumah yang rapat dan laluan sempit menyukarkan pergerakan jentera serta anggota bomba.
“Ditambah pula dengan ketiadaan pili bomba, kita terpaksa mengatur strategi menggunakan beberapa aliran air bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata, seramai 48 anggota bomba bersama 14 anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.
Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity.
“Kebakaran memusnahkan kawasan seluas kira-kira 7,124.84 meter persegi, selain sebuah Perodua Kancil turut hangus sepenuhnya.
“Bagaimanapun, usaha pemadaman berjaya menyelamatkan kira-kira 250 rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.
Moiley berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8 pagi sebelum pasukan bomba meneruskan kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api atau mangsa lain di lokasi kejadian. – Info X