RANAU: Kegiatan seorang lelaki bertopeng yang disyaki aktif memecah masuk premis perniagaan di daerah ini akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis, semalam.
Suspek warga tempatan berusia 46 tahun itu dipercayai terbabit dalam tiga kes pecah bangunan dan kecurian termasuk memecah peti simpanan keselamatan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM184,403.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikaitkan dengan kejadian turut memaparkan kelibat seorang lelaki memakai penutup muka, baju biru, seluar pendek dan sarung tangan berada di dalam sebuah premis perniagaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil siasatan dan risikan dijalankan.

Katanya, penahanan suspek berjaya membantu polis menyelesaikan tiga kes pecah bangunan dan kecurian yang dilaporkan berlaku antara 4 Oktober hingga 2 November lalu.
“Ketiga-tiga kes berkenaan membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM184,403.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan jenayah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah kekerasan dan harta benda serta pernah dijatuhi hukuman.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan dengan niat melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika membabitkan kecurian.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kediaman dan premis perniagaan masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X