Search

Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kadamaian

November 5, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Ijuk, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia di Sungai Kadamaian, pagi tadi.

Mangsa, Tiklum Santan, 87, ditemukan terapung berhampiran Jambatan Tempasuk, Kampung Lebak Engad, kira-kira jam 7.15 pagi oleh orang awam yang turut membantu operasi pencarian.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, sebelum kejadian, mangsa disedari tiada di rumah oleh ahli keluarganya kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, ahli keluarga kemudian berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan kampung, namun gagal menemukannya.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri.

“Kira-kira jam 7 malam, ahli keluarga menemui pakaian dan selipar milik mangsa di tepi Sungai Kadamaian, kira-kira 150 meter dari rumahnya.

“Penemuan itu menyebabkan ahli keluarga bimbang mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pencarian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai kebiasaan mandi di sungai berkenaan setiap hari kecuali ketika banjir.

Katanya, susulan laporan diterima, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pencarian.

“Operasi pencarian turut dibantu ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung.

“Bagaimanapun, mangsa ditemukan meninggal dunia pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari lokasi pakaian dan seliparnya ditemui,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya. – Info X