KOTA KINABALU: Seramai 538 pemain pickleball, termasuk bertaraf antarabangsa bakal berentap dalam Kejohanan Pickleball Terbuka Sabah 2026 yang menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000, dari 6 hingga 9 November ini.
Kejohanan yang diadakan di Replay Pickleball Club, Tingkat 5, Kompleks Karamunsing itu antaranya disertai dua beradik pemain profesional antarabangsa dari Vietnam, Quang Duong dan Bao Duong.
Turut menyertainya ialah Sophia Tran Phuong Anh, juga dari Vietnam dan beberapa pemain antarabangsa lain, antaranya dari Indonesia, Amerika Syarikat dan Brunei, selain dari Sabah sendiri, Sarawak dan Semenanjung.

Dari Sabah, cabaran kejohanan itu bakal tertumpu di tangan Stefan Alex yang dikenali antara pemain terbaik pickleball di Sabah ketika ini bersama seorang lagi pemain, Neem Shamsuddin.
Pengarah Pasukan Penganjur Replay Karamunsing, Lamardani Jonaeli, berkata kejohanan empat hari yang dianjurkan dengan kerjasama Borneo Vision Holiday Sdn Bhd itu disasar untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi menarik untuk pertandingan pickelball.
Katanya, kejohanan itu juga disasar dianjurkan setiap tahun untuk membuka mata pemain pickleball tempatan mengenai potensi mereka menembusi kejohanan antarabangsa dalam permainan sukan yang semakin berkembang itu.
“Kejohanan ini dianjurkan untuk membuka peluang kepada pemain tempatan atau bakat dari sabah untuk ke peringkat antarabangsa.
“Menerusi kejohanan ini, pemain tempatan dapat kemahiran dan meningkatkan keyakinan untuk bersaing di peringkat tinggi selepas ini menerusi pendedahan pemain antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan itu menawarkan 11 kategori pertandingan dengan penyertaan seramai 538 pemain dan ganjaran wang tunai keseluruhan mencecah RM100,000.
Sementara itu, Penaja dan Penganjur Bersama Kejohanan dari Borneo Vision Holiday Sdn Bhd, Wilson Ngu Siong Yiung, melihat kejohanan itu sebagai peluang untuk membangunkan sukan pelancongan di Sabah.
“Menerusi sukan pelancongan, kita gabungkan sukan dan pelancongan, ini motifnya sebab pickleball sedang berkembang pesat di seluruh dunia, jadi kita mahu ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan Sabah,” katanya.
Katanya, kejohanan itu satu peluang untuk membawa pemain antarabangsa dan memperkenalkan Sabah kepada masyarakat luar, selain sebagai platform untuk penduduk tempatan mengenali sukan pickelball.
“Kita perlu membawa Sabah ke peringkat antarabangsa, sebab itu kita adakan kejohanan ini dengan kerjasama Replay Pickleball Club,” katanya.
Dalam pada itu, Quang Duong yang berstatus pemain pickleball nombor satu Asia menyifatkan kejohanan Terbuka Sabah yang julung kali diadakan itu sebagai program yang menarik.
“Terima kasih kerana menjemput saya untuk menyertai kejohanan ini dan saya berharap usaha ini dapat membawa Sabah ke peringkat antarabangsa dalam sukan pickleball,” katanya.
Bagi Stefan, selaku pemain terbaik pickleball Sabah ketika ini, beliau menyifatkan sukan berkenaan yang semakin berkembang di negeri ini berpotensi untuk membawa pemain tempatan ke peringkat lebih jauh.
“Saya rasa ramai yang teruja untuk datang mahu tengok pemain antarabangsa, ramai yang menyokong dan saya rasa ia akan dapat sambutan sangat baik dari orang Sabah,” katanya. – Info X