Search

Projek solar hibrid terbengkalai 7 tahun, KKDW digesa siasat punca ketirisan

November 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) digesa menyiasat kegagalan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di tujuh kampung terpencil di Sipitang yang dilaporkan terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata projek menggunakan Sistem Solar Hibrid (SSH) itu sudah sembilan kali diberi lanjutan masa (EOT), namun masih gagal disiapkan sehingga ke hari ini.

Katanya, kegagalan menyiapkan projek itu menyebabkan 2,875 pengguna di tujuh kampung terbabit, iaitu Long Pasia, Long Mio, Ulu Bole, Iburu, Mengayam, Rundulang dan Meligan sehingga kini tidak dapat menikmati manfaat kemudahan berkenaan.

“Projek ini dilaporkan terbengkalai sejak tahun 2019 dengan sembilan kali Lanjutan Masa (EOT), sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada lampu solar dan generator set sebagai sumber tenaga alternatif.

“Kita menuntut kementerian menyiasat punca ketirisan projek ini yang sudah tujuh tahun terbengkalai kerana sejak dahulu, setiap kali isu ini diangkat jawapan lisan dan bertulis yang diterima langsung tiada menyatakan langkah yang tuntas dan tegas,” katanya.

Beliau membangkitkan isu itu ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Selain isu itu, Matbali turut menyuarakan keluhan 2,073 penduduk yang tinggal di 287 rumah di enam kampung dalam Mukim Malamam, Sipitang yang sehingga kini berdepan isu bekalan elektrik.

Selain isu bekalan elektrik, Matbali juga sekali lagi membangkitkan isu bekalan air luar bandar dan jalan raya yang sekian lama menjejaskan ribuan penduduk di Sipitang.

Beliau berkata, semua isu itu sudah dibangkitkannya berulang kali di Dewan Rakyat sejak hampir empat tahun lalu, termasuk ketika membahaskan Belanjawan 2027, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Matbali meminta KKDW untuk mengambil tindakan segera dan proaktif bagi menangani masalah yang menjejaskan hidup penduduk Sipitang itu.

Sementara itu, katanya projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), khususnya projek rawatan air di Kampung Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor-Sungai Tiga, Sipitang, sehingga kini belum dilaksanakan.

Projek itu, katanya membabitkan 7,319 penduduk dengan 1,219 rumah di 21 kampung belum menikmati bekalan air bersih yang sempurna.

“Jawapan bertulis kementerian bertarikh 6 November 2024 menyatakan projek ini dalam peringkat pelantikan perunding utama, tapi sampai sekarang masih tidak dilaksana.

“Kita meminta kementerian menjelaskan apakah status terkini projek BALB ini, berapakah peruntukan yang disediakan, apakah halangan pelaksanaannya dan bilakah penduduk boleh menikmati bekalan air bersih,” katanya.

Mengenai isu jalan raya, Matbali mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, yang memberikan jawapan ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat pada sebelah pagi mengenai status projek naik taraf Jalan Meligan–Long Pasia sepanjang 42 kilometer.

Katanya, penjelasan projek itu telah dimohon di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi kelegaan dan sinar harapan baharu.

Beliau juga menyambut baik jaminan bahawa projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban–Mendulong–Meligan yang kini sedang melalui proses tender kali ketiga di JKR Sabah.

“Perincian yang dikemukakan berkaitan projek menaik taraf jalan ini serta Jalan Mentulud 1 dan Jalan Mentulud 2 amatlah kita hargai,” katanya. – Info X