KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Malam Antarabangsa 2026 bagi meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh hubungan antara pelajar antarabangsa dengan warga universiti.
Program yang diadakan di Sutera Harbour Resort, di sini, baru-baru ini bertemakan ‘Colours of Culture -Celebrating Diversity’, menjadi platform untuk memupuk persefahaman silang budaya, semangat perpaduan dan rasa kekitaan dalam kalangan komuniti universiti yang terdiri daripada pelbagai latar belakang negara dan budaya.
Melalui perkongsian warisan, pakaian tradisional dan interaksi antara peserta, program itu turut menggalakkan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai kekuatan dalam membina komuniti kampus yang inklusif.
Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Pengantarabangsaan Global (PPPG) UMS, Prof Madya Dr Wardatul Akmam Din, dalam ucapannya berkata pengantarabangsaan bukan sekadar melibatkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa atau peluasan jaringan kerjasama dengan universiti luar negara.
Sebaliknya, beliau berkata ia turut merangkumi usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif, mesra dan menyokong keperluan pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Melalui program seperti ini kita bukan sahaja meraikan perbezaan budaya, malah membina jambatan persahabatan, mengukuhkan persefahaman dan mewujudkan rasa kekitaan dalam kalangan pelajar antarabangsa.
“Peranan kita adalah untuk memastikan mereka berasa diterima, disokong dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMS,” katanya.

Beliau menegaskan kejayaan agenda pengantarabangsaan memerlukan komitmen bersama seluruh warga universiti, termasuk fakulti, pusat tanggungjawab, staf dan pelajar.
Kerjasama itu katanya, penting bagi memperluas peluang mobiliti, pembelajaran kolaboratif antarabangsa, penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran yang memberikan manfaat kepada komuniti akademik.
Pada majlis itu, beberapa anugerah diberikan kepada fakulti sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMS.
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dipilih sebagai penerima Internationalisation and Mobility Engagement Award, manakala Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menerima Global Engagement Impact Award sebagai pengiktirafan terhadap usaha dalam bidang pengantarabangsaan dan kerjasama global.
Selain itu, anugerah Collaborative Online International Learning (COIL) Mobility Excellence Award turut diberikan kepada empat fakulti, iaitu FPEP, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) serta Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).
Pelaksanaan COIL membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk berkolaborasi dengan rakan antarabangsa melalui platform digital, sekali gus memperkukuh kompetensi global, kemahiran komunikasi antara budaya dan pengalaman pembelajaran merentas sempadan.
Dalam pada itu, penganjuran Malam Antarabangsa 2026 menjadi manifestasi PPPG untuk meneruskan komitmen dalam memainkan peranan penting menyokong kebajikan, penyesuaian dan pengalaman pembelajaran pelajar antarabangsa.
Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pengukuhan integrasi budaya, menyediakan bimbingan yang bersesuaian dan membina hubungan antara pelajar dengan komuniti kampus, selaras aspirasi UMS untuk membangunkan persekitaran universiti yang lebih terbuka, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. – Info X