KOTA KINABALU: Baki pemberian khas interim sebanyak RM900 juta kepada Sabah mesti dibayar pada tahun ini bagi mencukupkan jumlah RM1.5 bilion yang diumumkan kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah, (PBS), Dr Bonaventure Boniface, berkata sebelum ini RM600 juta sudah diterima oleh kerajaan negeri pada 12 Jun lalu.
Katanya, baki RM900 juta itu masih menunggu pewartaan perintah baharu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebelum pembayaran dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, katanya PBS mengalu-alukan jaminan kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Perintah Pemberian Khas Sabah sebelum akhir tahun ini yang akan membuka laluan pembayaran baki RM900 juta itu.
Beliau berkata, jaminan yang disampaikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, di Dewan Rakyat pada 3 November lalu itu adalah perkembangan positif dalam usaha memastikan baki peruntukan berkenaan disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“PBS melihat perkembangan ini sebagai hasil rundingan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang secara konsisten memperjuangkan agar baki RM900 juta dibayar dalam tahun ini.
“PBS, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri melalui kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, selaku Timbalan Ketua Menteri, memberikan sokongan penuh terhadap pendekatan rundingan tersebut.
“Bagaimanapun, PBS menegaskan jaminan ini perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pembayaran sebenar. PBS akan terus memantau proses pewartaan sehingga baki RM900 juta diterima sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, pemberian Khas Sabah menunjukkan perkembangan yang signifikan berdasarkan peningkatan daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025 dan seterusnya RM1.5 bilion pada 2026.
Pada masa yang sama, katanya PBS menegaskan penerimaan RM1.5 bilion itu hanyalah penyelesaian interim dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak Sabah.
“Tuntutan hak pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112C dan 112D, mesti terus diperjuangkan sehingga satu mekanisme dan jumlah pembayaran yang adil dimuktamadkan.
“Bagi PBS, perjuangan hak Sabah bukan sekadar mengenai angka dan jumlah peruntukan. Apa yang lebih penting ialah memastikan hak kewangan negeri ini dapat diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dana yang diterima perlu dimanfaatkan secara berkesan, khususnya bagi mempercepat penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan infrastruktur di kawasan pedalaman yang masih memerlukan perhatian.
“Hak Sabah mesti terus diperjuangkan melalui rundingan yang tegas dan berterusan. PBS akan terus berdiri bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap perkembangan positif diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat Sabah,” katanya. – Info X