SEMPORNA: Sebanyak 940 liter petrol bernilai RM4,013.80 dirampas dalam tiga kes berasingan di perairan daerah ini, semalam.
Rampasan itu hasil operasi Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna yang turut membawa kepada penahanan dua individu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua kes membabitkan operasi PGA di perairan Pulau Mataking dengan rampasan 700 liter petrol.
“Dalam operasi berasingan, PPM Semporna turut merampas 240 liter petrol dalam kes rampasan tanpa tuan di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum.
“Kedua-dua individu yang ditahan di perairan Pulau Mataking direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Selain petrol, dua bot kayu dan dua enjin sangkut turut disita dalam operasi berkenaan.

Susulan itu, KPDN membuka tiga kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN turut memberi amaran bahawa individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta, manakala kesalahan berikutnya sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp 019-848 8000 atau talian 1-800-886-800. – Info X