PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Putatan – Ramayah, berhampiran Kampung Ulu Putatan, di sini, Khamis lalu.
Mangsa berusia 45 tahun yang membonceng motosikal ditunggang rakannya berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, semalam, manakala penunggang turut mengalami kecederaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, kemalangan kira-kira jam 12.50 tengah malam itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 22 tahun dan motosikal dinaiki dua lelaki.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal terbabit.
“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan sebelum dihantar ke HQEI untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Arisanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan ketika memandu.
“Sikap berhati-hati dan bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya. – Info X