Search

Media rakan strategik AADK ubah persepsi masyarakat terhadap pemulihan dadah

November 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting dalam mengubah stigma negatif masyarakat terhadap penagih dadah, sekali gus menggalakkan golongan terbabit tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, media bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya rakan strategik dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap usaha menangani penyalahgunaan dadah.

Katanya, kuasa pena, lensa kamera dan papan kekunci pengamal media mampu menjadi antara medium paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan rawatan dan pemulihan dadah.

“Media bukan sekadar melaporkan berita tangkapan berkaitan dadah, tetapi turut berperanan mengubah stigma negatif terhadap penagih kepada pendekatan lebih berperikemanusiaan.

“Kita mahu individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan di premis disediakan AADK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea SKUAD Antidadah Negeri Sabah Bersama Media di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Zainudin berkata, kerjasama media juga penting sebagai jambatan dalam menyampaikan khidmat nasihat, pendidikan dan mesej antidadah kepada masyarakat.

Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan apabila majoriti individu terbabit terdiri daripada golongan usia produktif yang sepatutnya menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.

“Apa yang lebih membimbangkan, terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah terdedah kepada dadah dan bahan terlarang.

“Usaha pencegahan tidak boleh menunggu sehingga mereka dewasa, sebaliknya perlu bermula lebih awal menerusi pendidikan, kesedaran serta penglibatan keluarga dan komuniti,” katanya.

Beliau berharap kerjasama erat AADK bersama pengamal media dapat memperluaskan penyampaian mesej antidadah, selain menggalakkan masyarakat melihat rawatan dan pemulihan sebagai peluang untuk membina kehidupan baharu. – Info X