KOTA KINABALU: Filem thriller seram tempatan, GIRING, mencatat kutipan mencecah RM500,000 dalam tempoh seminggu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober lalu.
Pencapaian itu meletakkan filem arahan Pengarah Filem, Marlin Malalin itu sebagai antara karya anak Sabah yang menyumbang kepada perkembangan positif industri perfileman di negeri ini.
Kutipan setengah juta ringgit itu juga bukan saja menjadi kejayaan awal produksi filem berkenaan, malah membuktikan karya anak tempatan Sabah mempunyai potensi untuk menarik perhatian penonton dan bersaing dalam pasaran perfileman negara.
Menerusi poster penghargaan yang dikeluarkan pihak produksi, kutipan RM500,000 itu turut menjadi pencapaian awal dalam usaha mengejar sasaran seterusnya sebanyak RM1 juta.
Filem terbitan 7A Borneo Sdn Bhd itu menampilkan gabungan pelakon tempatan dan nasional, antaranya Tati Eliana Tonny, Bell Ngasri, Adeline Tsen, Rodhi Madun, Duncan Christian Tubong, Ray Redzuan Awang, Lucilla Anggun dan Marlin Malalin sendiri.

Mengangkat genre thriller seram dengan sentuhan sejarah dan budaya tempatan, GIRING tampil dengan slogan ‘bila berbunyi, kau akan mati’ yang mencetuskan elemen misteri dan debaran.
Sementara itu, Marlin berkata, keistimewaan GIRING bukan sekadar terletak pada elemen seram, malah turut membawa mesej sejarah yang besar dengan mengambil latar era pembentukan Malaysia dan perjuangan masyarakat pribumi Sabah menentang pendudukan Jepun.
Katanya, penceritaan filem itu turut mengetengahkan peranan tokoh-tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun, Donald Stephens dan Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata, antara mesej utama yang ingin disampaikan menerusi filem itu ialah semangat kebangkitan masyarakat pribumi Sabah daripada pelbagai latar belakang bangsa dalam menghadapi cabaran sejarah.
Garapan cerita itu katanya, memperlihatkan kekuatan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
“Selain itu, GIRING turut membawa nilai integrasi nasional dengan mengangkat semangat kebersamaan, persefahaman dan keharmonian masyarakat sebagai asas penting dalam pembinaan sebuah negara.
“Kekayaan budaya tempatan yang diketengahkan dalam filem ini juga menjadi antara kekuatan utama produksi, khususnya dalam memperkenalkan warisan, identiti dan keunikan masyarakat Sabah kepada penonton yang lebih luas,” katanya.
Tepatnya, beliau berkata, karya berkenaan memperlihatkan potensi kekayaan sejarah dan warisan masyarakat Sabah untuk diketengahkan sebagai kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial serta kepentingan pendidikan sejarah.
Katanya, kejayaan awal GIRING juga wajar dilihat sebagai dorongan kepada perkembangan ekosistem industri kreatif negeri, termasuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat tempatan dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan dan produksi filem.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak produksi berharap sokongan penonton, khususnya rakyat Sabah, dapat membantu filem berkenaan mencapai sasaran kutipan RM1 juta serta membuka peluang kepada lebih banyak karya tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Pencapaian itu, katanya membuktikan Sabah bukan saja kaya dengan keindahan alam dan kepelbagaian budaya, malah mempunyai sejarah, cerita, bakat serta kreativiti yang berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional.
“GIRING bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi sebuah karya yang mengangkat sejarah, perpaduan dan identiti Borneo ke layar perak,” katanya.
Ends