Search

Inteam suntik semangat penggiat nasyid di Sabah – KOPAN

November 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehadiran kumpulan nasyid Inteam, di Sabah International Convention Centre (SICC) sempena program kesenian anjuran Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), baru-baru ini, menyuntik inspirasi kepada penggiat seni nasyid Sabah untuk terus berkarya.

Pengerusi KOPAN, Mohd Nazri Saidali, berkata suntikan inspirasi itu penting dalam usaha membawa industri muzik nasyid ke tahap yang lebih tinggi.

“Kehadiran kumpulan nasyid terkenal Malaysia itu bukan sekadar memeriahkan acara, sebaliknya turut menjadi suntikan inspirasi kepada penggiat seni nasyid Sabah untuk terus berkarya dan membawa industri berkenaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Program yang berlangsung pada Sabtu lalu itu disemarakkan dengan gabungan aktiviti kesenian, pembangunan bakat kanak-kanak dan persembahan santai barisan artis nasyid tempatan dengan kemuncaknya persembahan Inteam yang popular dengan lagu ‘Kasih Kekasih’.

Mohd Nazri berkata, pada sebelah pagi, Pertandingan Mewarna KOPAN menerima sambutan menggalakkan dengan hampir 80 kanak-kanak mengambil bahagian dalam tiga kategori umur, iaitu 5 hingga 6 tahun, 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Penyertaan itu, katanya memperlihatkan minat dan potensi golongan muda dalam bidang seni visual, selain menyediakan ruang untuk mereka mengembangkan kreativiti dan keyakinan diri melalui aktiviti pertandingan.

Turut berlangsung, katanya ialah Pertandingan Seni Khat yang disertai seramai 20 peserta dan dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Sabah (PSKS), selaku rakan strategik KOPAN, bagi memperkenal dan memartabatkan seni khat sebagai warisan kesenian Islam yang wajar terus dipelihara.

Selesai dua program pada sebelah pagi itu, katanya acara diteruskan dengan ‘Meet and Greet Artis Nasyid Sabah’ yang menampilkan persembahan santai daripada barisan artis dan kumpulan nasyid tempatan.

Pertandingan mewarna disertai hampir 80 kanak-kanak sempena program KOPAN.

“Antara yang terlibat ialah Safiq, Ammar, Kumpulan Karisma, Kumpulan Irfonis, Asyraf Naim, Adib Dihyah, Santiana Ramli, Fakhri Arif, Kumpulan Elhamz dan Kumpulan Mujaddid.

“Persembahan yang berlangsung di kawasan booth dan vendor luar SICC itu memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat artis nasyid Sabah, selain menikmati persembahan secara langsung dalam suasana santai dan mesra.

“Keseluruhan acara dikendalikan oleh pasangan pengacara Adin Hans dan Atiep Ben yang berjaya menghidupkan suasana serta memastikan setiap pengisian berlangsung dengan penuh kemeriahan,” katanya.

Sementara itu, kemuncak acara pada program itu ialah penampilan kumpulan Inteam yang dilihat sebagai sokongan kepada perkembangan industri nasyid Sabah.

Katanya, wakil Inteam, Hazamin, mengambil kesempatan menyampaikan ucapan dan kata-kata semangat kepada penggiat seni nasyid, khususnya penasyid, penulis lirik dan komposer di Borneo.

“Selamat berjaya kepada seluruh penasyid, penulis lirik komposer di Borneo, teruskan berkarya dan sebarkan kebaikan dalam karya-karya kita, Insya-Allah,” katanya.

Hazamin turut menyampaikan doa agar KOPAN dan Munsyid Sabah terus konsisten dalam usaha memperkasa serta mengembangkan industri nasyid di Sabah.

Mohd Nazri berkata ucapan Hazamin membawa mesej yang cukup besar kepada penggiat seni tempatan mengenai perjuangan dalam industri muzik yang bukan sekadar menghasilkan lagu, malah turut membawa tanggungjawab menyampaikan mesej positif dan kebaikan melalui setiap karya yang diterbitkan.

Bagi Mohd Nazri yang juga Wakil Sabah dalam Munsyid Malaysia, kehadiran Inteam bersama Presiden Munsyid Malaysia adalah satu penghormatan besar dan suntikan semangat yang cukup bermakna kepada seluruh penggiat nasyid tempatan.

Antara artis nasyid pada program Meet and Greet Artis Nasyid Sabah.

Katanya, sokongan daripada kumpulan nasyid berpengalaman di peringkat nasional memberikan motivasi kepada penasyid muda Sabah untuk lebih yakin dalam berkarya, memperkukuh identiti muzik sendiri dan berusaha menembusi pasaran yang lebih luas.

Beliau turut menegaskan pembangunan industri nasyid memerlukan kesatuan semua pihak, termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik, persatuan dan rakan strategik.

Dalam pada itu, katanya suasana program mencapai kemuncak kemeriahan apabila Inteam mendendangkan lagu popular mereka, ‘Kasih Kekasih’, yang cukup sinonim dengan peminat nasyid tanah air.

Katanya, alunan lagu itu mencetuskan suasana penuh nostalgia apabila barisan artis nasyid Sabah yang berada di lokasi turut sama menyanyikan lagu berkenaan bersama Inteam.

Lebih menarik, beliau berkata pengunjung yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama, menjadikan persembahan itu satu detik istimewa yang memperlihatkan kekuatan muzik nasyid dalam menyatukan peminat merentas generasi.

“Saat itu bukan saja mencerminkan hubungan erat antara penggiat nasyid Sabah dan nasional, malah membuktikan karya nasyid yang berkualiti mampu terus hidup dalam ingatan masyarakat,” katanya.

Mengulas penganjuran program di SICC itu, Mohd Nazri berkata ia adalah pendekatan KOPAN dalam memperluaskan peranan persatuan sebagai platform pembangunan bakat, penghasilan karya dan pengukuhan jaringan industri nasyid di Sabah.

Pertandingan seni khat sempena program KOPAN di SICC.

Usaha itu, katanya tidak hanya tertumpu kepada penganjuran persembahan, sebaliknya turut merangkumi pembangunan generasi muda, penglibatan komuniti, kerjasama antara persatuan serta usaha membuka ruang kepada artis tempatan untuk memperkenalkan bakat mereka.

Jelasnya, KOPAN berhasrat untuk terus memperkukuh ekosistem nasyid Sabah dengan memberikan perhatian kepada pembangunan penasyid, komposer, penulis lirik dan penerbit muzik agar industri itu dapat berkembang secara lebih tersusun dan mampan.

Katanya, kehadiran Inteam dan sokongan Munsyid Malaysia memberikan isyarat positif bahawa penggiat nasyid Sabah mempunyai ruang untuk terus membina hubungan, berkongsi pengalaman dan mengembangkan karya ke peringkat lebih luas.

“Apa yang berlangsung di SICC bukan sekadar sebuah acara sehari, tetapi satu gambaran semangat dan kesungguhan penggiat nasyid Sabah untuk terus menghidupkan perjuangan seni yang membawa mesej kebaikan.

“Bagi KOPAN, kebangkitan nasyid Sabah bukan hanya diukur melalui jumlah lagu yang dihasilkan atau pentas yang dijayakan, tetapi melalui kemampuan membina generasi, menyatukan penggiat seni dan memastikan setiap karya terus memberi manfaat kepada masyarakat.

“Terus berkarya, terus menyebarkan kebaikan. Seruan nasyid dari Kinabalu,” katanya. – Info X