Search

Remaja maut dalam kemalangan, enam cedera

November 10, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 12, Jalan Lahad Datu – Sandakan, malam ini.

Dalam kejadian itu, enam individu yang menaiki Perodua Alza berkenaan turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.46 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera dari BBP Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, enam mangsa yang berada di dalam Perodua Alza pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh petugas ambulans KKM sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mayat remaja terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumsoa berkata, operasi yang turut dibantu polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.02 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X