Search

Rombak Kabinet, nilai semula kedudukan menteri UMNO – AMK Sabah

November 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbangkan rombakan Kabinet secara tegas, termasuk menilai semula kedudukan menteri-menteri UMNO.

Ketuanya, Zaidi Jatil berkata penilaian semula itu jika UMNO terus mengambil pendirian yang bercanggah dengan semangat dan hala tuju Kerajaan MADANI.

Katanya, Kerajaan Perpaduan bukan tempat untuk menikmati kuasa dan jawatan, tetapi pada masa yang sama menyerang kerajaan sendiri demi kepentingan politik kepartian.

“Perkembangan mutakhir jelas menimbulkan persoalan terhadap kesepakatan politik dalam Kerajaan Perpaduan. Pada September 2026, terdapat pemimpin UMNO yang menggesa supaya PRU16 dipercepatkan.

“Malah, pada 5 November 2026, Perdana Menteri sendiri menegur pemimpin parti kerajaan yang menyerang pentadbiran ketika berkempen, sedangkan mereka mempunyai wakil dalam Kabinet.

“Ketegangan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Melaka turut memperlihatkan cabaran terhadap keutuhan kerjasama politik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, AMK Sabah menghormati pendirian rasmi Presiden UMNO untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.

Namun, katanya kesetiaan kepada kerajaan mesti dibuktikan melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan politik.

“Kita tidak menolak perbezaan pandangan, tetapi perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan kerajaan yang didukung bersama.

“Jangan jadikan Kerajaan MADANI sebagai tempat berpaut kepada kuasa, sedangkan agenda reformasi dan kepimpinan kerajaan terus dipertikaikan,” katanya.

Zaidi berkata, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kos sara hidup, infrastruktur, pendidikan serta pembangunan negara, khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, katanya AMK Sabah berpandangan Perdana Menteri tidak perlu teragak-agak melakukan rombakan Kabinet sekiranya langkah itu diperlukan demi memperkukuh pentadbiran negara.

Tegasnya, kepentingan rakyat mesti mengatasi kepentingan parti, manakala reformasi tidak boleh menjadi tebusan kepada percaturan politik mana-mana pihak.

“Kerajaan MADANI mesti dipertahankan atas dasar prinsip, keikhlasan dan tanggungjawab bersama, bukannya kompromi politik tanpa penghujung.

“Jika tidak lagi sehaluan, berilah laluan. Negara memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan sekadar mempertahankan kedudukan,” katanya. – Info X