Search

Lelaki bersenjata ceroboh rumah dirakam CCTV

November 12, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Video tular memaparkan beberapa lelaki berpakaian gelap dipercayai bersenjata menceroboh sebuah rumah di Taman Perumahan TNG 3, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum rakamannya tersebar di media sosial.

Menerusi rakaman berkenaan, beberapa lelaki dilihat memasuki ruang tamu sebelum bergerak ke beberapa bahagian rumah seolah-olah sedang mencari sesuatu.

Lebih membimbangkan, seorang daripada mereka dilihat memegang objek menyerupai parang, manakala individu lain bebas berkeliaran di dalam kediaman terbabit.

Kumpulan lelaki berkenaan juga dilihat bergerak dari satu ruang ke ruang lain tanpa menyedari setiap pergerakan mereka dirakam CCTV.

Difahamkan, pemilik rumah masih berada di luar negara ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, tujuan sebenar pencerobohan serta sama ada terdapat kehilangan harta benda masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin ketika dihubungi memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu laporan polis daripada pemilik rumah. – Info X