Search

Adau Janang Gayuh rapatkan hubungan masyarakat serumpun Sabah, Brunei, Indonesia

November 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sambutan Adau Janang Gayuh 2026 yang dijadualkan berlangsung di Beaufort pada 26 hingga 29 November ini disasar untuk merapatkan hubungan masyarakat serumpun di Sabah, Brunei dan Indonesia.

Presiden Persatuan Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam, berkata pihaknya juga mahu sambutan tradisi masyarakat Bisaya itu menjadi platform untuk memelihara dan memperkenalkan budaya tradisi Bisaya.

“Adau Janang Gayuh bukan sekadar sambutan kebudayaan, tetapi juga wadah untuk kita memelihara identiti, adat resam dan warisan masyarakat Bisaya agar terus dikenali serta diwarisi oleh generasi akan datang.

“Kita juga mahu sambutan ini menjadi ruang pertemuan masyarakat serumpun, khususnya dari Sabah, Brunei Darussalam dan Indonesia, untuk saling mengenali serta mengeratkan hubungan melalui persamaan budaya dan warisan,” katanya, di sini, pada Khamis.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menyampaikan sendiri jemputan menghadiri sambutan itu menerusi kunjungan hormat terhadap Konsul Agung Brunei Darussalam, Fauzana Octavia Haji Alli dan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Noorman Effendi.

ADUN Lumadan itu berkata sambutan kali ini diadakan di Dataran Bagandang, Beaufort dan dijangka disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berharap sambutan kali ini mendapat sokongan dan penyertaan pelbagai pihak, termasuk masyarakat dari negara jiran, sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan warisan dan kebudayaan masyarakat Bisaya ke peringkat lebih luas.

“Sambutan ini juga diharap dapat menjadi wadah mempererat hubungan kekeluargaan dan persaudaraan masyarakat serumpun yang berkongsi sejarah serta warisan budaya,” katanya. – Info X