Search

Suami isteri ditemui meninggal dunia dalam keadaan berpelukan

November 12, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang isteri yang cuba menyelamatkan suaminya selepas dipercayai tergelincir ke dalam kolam kumbahan turut menjadi korban apabila kedua-duanya ditemui meninggal dunia dalam keadaan berpelukan di Kampung Kawari, di sini, hari ini.

Pasangan yang juga pekerja kandang ternakan babi warga Indonesia masing-masing berusia 52 dan 50 tahun dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan ketika berada di kawasan tempat kerja mereka.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan kedua-dua mangsa kira-kira jam 11.56 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Papar bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu mengeluarkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa adalah pasangan suami isteri warga Indonesia yang bekerja di kawasan kandang ternakan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan, manakala isterinya dipercayai cuba membantu tetapi turut terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, bagaimanapun, keadaan sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk berlakunya unsur jenayah.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.

“Orang ramai khususnya mereka yang bekerja berhampiran kolam kumbahan atau kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini,” katanya. – Info X