Search

750 PATI Filipina dihantar pulang

November 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 750 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, hari ini.

Pemindahan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Papar menggunakan kapal MV Antonia 1.

JIM Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan, program pemindahan tahanan PATI Siri 4/2026 itu membabitkan 378 lelaki dewasa, 175 wanita dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 99 kanak-kanak perempuan.

“Kesemua tahanan yang dipindahkan berusia antara tiga hari hingga 71 tahun, manakala kanak-kanak turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memastikan tahanan PATI yang memenuhi syarat dihantar pulang ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga Singapura melalui penerbangan Scoot Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Changi, Singapura, semalam.

Menurut kenyataan itu, sehingga hari ini, seramai 9,224 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Jumlah itu merangkumi 6,915 warga Filipina, Indonesia (1,959), Pakistan (143), China (142), Vietnam (29) serta 36 warga negara lain termasuk Singapura.

“Semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan atau Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah.

“JIM Sabah turut mengharapkan kerjasama Kedutaan Filipina untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan segera, sekali gus mengurangkan kesesakan di depot imigresen,” katanya.

Sementara itu, JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah.

“Majikan juga disarankan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi PATI.

“Majikan yang melakukan kesalahan boleh berdepan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan berkaitan,” katanya. – Info X