TAWAU: Sebanyak 1,190 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang disyaki cuba diseleweng dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan Jeti Batu 3, di sini, semalam.
Rampasan itu hasil pemantauan dan risikan PPM terhadap kegiatan disyaki membabitkan penyelewengan barang kawalan di kawasan berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima serahan kes berkenaan daripada PPM bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, sebuah van Toyota berwarna putih turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM22,975.
“Kes diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kertas siasatan sudah dibuka bagi mengenal pasti sebarang kesalahan berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“KPDN Tawau tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau menghubungi pejabat KPDN Tawau di talian 089-776690,” katanya. – Info X