Search

PERTIMBANG NAIKKAN ELAUN KETUA KAMPUNG

February 13, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kumpulan pemimpin masyarakat terutamanya dalam kalangan ketua kampung meminta Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD) menyampaikan sokongan kepada kerajaan negeri agar elaun atau gaji bulanan mereka dapat dikemaskini daripada RM700 kepada RM1,200.

Presiden LOTUD, Datuk Fredie Sua, berkata, perkara berkenaan sudah disuarakan dalam mesyuarat pada 11 Februari lalu.

“Cadangan ini adalah sama seperti yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri Johor pada sidang dewan tahun lepas yang mana ia akan selaras dengan gaji minima seperti sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Dimaklumkan bahawa gaji atau elaun RM700 kepada ketua kampung ini sudah lama tidak dikemaskini, walaupun kos perkhidmatan sudah meningkat mengikut keadaan ekonomi.

“Kita menyokong agar gaji dan elaun ketua kampung diberi pertimbangan untuk dinaikkan selaras dengan kadar gaji yang dilaksanakan di Semenanjung.

“Perkara ini sesuai dengan kerja khidmat yang perlu dilaksanakan sebagai seorang ketua kampung.

“Kami percaya atas budi bicara Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor, beliau akan prihatin terhadap kos sara hidup yang telah meningkat selain bakal memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menaikkan gaji atau elaun pemimpin masyarakat dalam kalangan ketua kampung,” katanya. – Info X