50 penduduk Kampung Inderasabah ditauliah Bomba Komuniti

November 14, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 50 penduduk Kampung Inderasabah, di sini, ditauliah sebagai ahli Pasukan Bomba Komuniti dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kebakaran dan kecemasan.

Pentauliahan itu diadakan sempena Program Kempen Sehari Bersama Bomba Komuniti, Skuad Bomba, S.U.R.I. dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung Inderasabah yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Majlis kemuncak hari ini disempurnakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz.

Selain pentauliahan Bomba Komuniti, program berkenaan turut memberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran kepada 30 wanita dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Tawau menerusi Program S.U.R.I.

Seramai 10 guru Madrasah Wadi An Nur, Kampung Balung Kokos turut ditauliah sebagai ahli Skuad Bomba, manakala 30 kanak-kanak menyertai aktiviti Kelab Bomba Cilik.

Program itu turut mendapat penyertaan enam pasukan Bomba Komuniti dari Lahad Datu, Kunak dan Semporna bagi memperkukuh kerjasama serta perkongsian pengetahuan berkaitan keselamatan kebakaran.

Dalam pada itu, JBPM Sabah turut melaksanakan Program Fire Point melalui penempatan alat pemadam api mudah alih di lokasi strategik bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran.

Mohd Pisar berkata, penglibatan aktif masyarakat amat penting dalam membantu pihak bomba mencegah kebakaran, khususnya di kawasan yang mempunyai risiko tinggi.

Katanya, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai pencegahan kebakaran selain bersedia mengambil tindakan awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Setiap isi rumah digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api mudah alih sebagai langkah keselamatan awal.

“Pada masa sama, aspek keselamatan penggunaan elektrik dan peralatan memasak juga perlu sentiasa diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Jabatan (PSJ) 2026 – 2030 yang memberi penekanan terhadap pencegahan kebakaran dan penglibatan komuniti.

Katanya, JBPM Sabah akan terus memperkasakan masyarakat sebagai rakan strategik jabatan dalam membentuk komuniti yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan.

“Usaha ini diharap dapat memupuk budaya keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda,” katanya. – Info X