Lelaki dihanyutkan arus ketika mandi sungai

November 14, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus ketika mandi-manda di sungai di Kiulu, dekat sini, petang ini.

Mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 4.15 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

“Ketika dalam perjalanan ke lokasi, pihak kami menerima panggilan kedua daripada orang awam memaklumkan mangsa sudah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan bomba yang tiba pada jam 4.46 petang mendapati mangsa masih tidak sedarkan diri sebelum segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa masih dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika pasukan bomba berada di lokasi kejadian.

“Tindakan lanjut kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan enam anggota BBP Tuaran termasuk dua anggota pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS). – Info X