KOTA BELUD: Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Bypass Ranau menghala ke Kampung Narinang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun ditemui dalam parit sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum memberikan rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.25 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X